Gandingan Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri nyata tidak mengecewakan apabila meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama pada penutup Kejohanan Siri Terjun Dunia di Windsor, Kanada, semalam.

Ia kejayaan cemerlang buat kedua-dua penerjun wanita negara ini, terutama Dhabitah, yang akhirnya berjaya menggenggam pingat di pentas dunia.

Malah, Dhabitah hanya berpasangan bersama Pandelela untuk pusingan keempat dan terakhir Siri Terjun Dunia ini selepas pasangan asal masing-masing, Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee, mengalami kecederaan.

Pandelela-Dhabitah mencatatkan 298.80 mata bagi memintas penerjun Britain, Tonia Couch-Lois Toulson, yang menduduki tempat ketiga dengan kelebihan hanya 0.18 mata.

Emas sekali lagi diungguli penerjun China, Si Yajie-Ren Qien dengan jumlah 336.66 mata.

Pandelela dan Dhabitah, bagaimanapun, tidak bermula dengan baik apabila menduduki tempat kelima selepas tiga terjunan pertama.

Tetapi pasangan negara ini bangkit dalam terjunan keempat menerusi terjunan darjah kesukaran lebih tinggi untuk memungut 70.08 mata bagi melonjak ke tangga kedua.

Mereka memastikan perak dalam gengggaman apabila meraih 69.12 mata dalam terjunan kelima dan terakhir.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, memberi petanda positif bahawa penerjun muda, Dhabitah, kini di landasan tepat untuk berada di tahap selesa selepas mempamerkan aksi memberangsangkan di Kanada.

Gandingan mereka kali ini nyata berhasil selepas penampilan sulung di Kazan menyaksikan pasangan itu meraih tangga keempat dalam acara sama.

Kejayaan pingat perak ini sekurang-kurangnya mampu menghadirkan semangat baru buat penerjun negara dalam misi menyapu bersih pingat emas dalam Sukan SEA, Ogos depan.

"Kami sangat berbangga dengan pencapaian mereka kerana keputusan ini di luar jangkaan. Memenangi pingat perak berdepan atlet terbaik dunia adalah pencapaian besar, lebih-lebih lagi buat Dhabitah," ujar Mae Chen.