Pengendali skuad futsal wanita negara, Muizzuddin Mohd Haris, percaya barisan pemain kali ini mampu menyamai kejayaan skuad kebangsaan dalam saingan Sukan SEA 2013 Myanmar apabila berjaya meraih pingat gangsa.

Muizzuddin juga sudah mengenal pasti lima pemain utama untuk dipilih memulakan aksi menentang Myanmar esok sambil mengharapkan anak-anak buahnya mengekalkan aspek disiplin di dalam permainan.

"Tahun ini, kami membariskan ramai pemain muda. Saya yakin pemain dapat mengulangi pencapaian tersebut dengan pemain mempamerkan komitmen 100 peratus," kata Muizzuddin.

Bagi kem futsal wanita Myanmar, pengendali, Htay Myint, menegaskan pasukannya sudah menjalani persiapan yang baik bagi menghadapi temasya kali ini.

“Kami menjalani latihan dan aksi persahabatan di Bangkok sebelum ke sini.

“Saya percaya pemain-pemain sudah bersedia untuk memberikan tentangan kepada tuan rumah, esok,” ujarnya.