Pengendali skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong, mengakui penting buat skuad negara memulakan saingan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan kemenangan apabila berdepan Myanmar dalam aksi pembukaan, esok.

Dia sedar kemenangan dalam aksi pertama penting bagi menentukan sama ada barisan negara mampu memberi cabaran dalam temasya kali ini atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Chun Yong mahu pemain-pemainnya terlebih dulu fokus kepada satu perlawanan demi satu perlawanan.

Jurulatih itu turut yakin anak-anak buahnya sudah bersedia untuk temasya kali ini selepas menjalani persiapan sejak Disember lalu.

"Sudah semestinya ia penting buat kami menumpukan kepada satu persatu perlawanan.

"Ketika ini, kami memberi fokus kepada aksi berdepan Myanmar.

"Myanmar sebuah pasukan yang bagus kerana dalam pertemuan Kejohanan AFF yang lalu, kami mendahului 3-0 tetapi tewas 5-3.

"Kali ini kami telah membuat sedikit kajian dan adalah penting untuk membuka langkah dengan kemenangan," ujarnya.

Sementara itu, pengendali Myanmar, Reza Kordi, memberikan jaminan pasukannya akan memberikan saingan sengit walaupun terpaksa berdepan pasukan tuan rumah yang juga pilihan kejohanan.

"Kami datang dengan sasaran emas. Tiada siapa yang tahu keputusan esok.

"Pertama, kami akan berjuang untuk mendapat tempat dan yang keduanya, kami akan berjuang demi presiden kami yang merupakan seorang yang baik.

"Selepas itu, kami mahu mempamerkan kemampuan dan yang terakhir, falsafah yang diterapkan saya adalah bahawa kami tidak akan beraksi untuk kalah," katanya.