Pahang Rangers akan memulakan kempen antarabangsa pertama di bawah kendalian jurulatih, Gerard Casas, dalam Kejohanan Futsal AFF 2020 di Thailand bermula Isnin ini

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu berdepan beberapa kesukaran, iaitu kesuntukan masa dalam mempersiapkan pasukan, memandangkan hanya mengetahui mengenai penyertaan pasukannya dalam kejohanan itu pada dua minggu lalu.

Selain itu, enam pemain utamanya -- termasuk pemain import, Victor Espindola -- juga tidak dapat dibawa ke Bangkok Arena kerana mengalami kecederaan dan tidak mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing.

Ini bermakna Casas tiada pilihan selain mempertaruhkan barisan pemain muda dalam kejohanan pertamanya sejak dilantik sebagai jurulatih pasukan itu Januari lalu.

"Saya hanya mengetahuinya sejak dua minggu lalu," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Kami tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan persediaan.

"Pasukan kami berusaha dengan amat keras dalam latihan sejak bebebrapa bulan lalu, jadi ia pasti sukar dan tidak sempurna.

"Ini kerana kami hanya mengetahuinya dalam masa yang singkat tetapi ia sama ada kami mahu menyertai Kejohanan AFF atau langsung tidak dapat menyertainya, jadi kami akan memberikan segala-galanya dengan apa yang kami ada," katanya.