Pengendali skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong, menuntut barisan pemainnya mengekalkan momentum apabila kembali ke latihan pusat pertama sejak enam bulan lalu menjelang Kejohanan Futsal AFF 2019 di Vietnam, penghujung Oktober depan.

Berbaki lima bulan sahaja lagi, jurulatih itu bergelut dalam pemilihan pemain yang akan mewakili skuad kebangsaan selain menghadapi cabaran membentuk keserasian antara mereka.

Skuad negara, menerima jemputan untuk aksi jemputan empat penjuru di China, September dan Oktober depan, selain akan berdepan beberapa pasukan dari Eropah yang dijangka mampu menjadi persiapan terbaik sebelum ke Kejohanan AFF.

Chun Yong hanya akan memutuskan senarai akhir pada Oktober di samping kem yang latihan akan bermula 8 Julai ini.

"Ini cabaran besar buat saya memandangkan saya mempunyai masa yang singkat untuk mengumpul pemain berikutan jadual Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) agak padat tetapi ia bagus untuk saya.

"Dalam usaha membentuk keserasian antara pemain, saya perlu memanfaatkan sepenuhnya kem kebangsaan sepanjang Julai hingga September," katanya.

Pengendali kebangsaan itu juga menjelaskan akan menggunakan pentas MPFL dalam pencarian bakat baru untuk menyertai skuad negara dalam misi menebus kekalahan kepada Thailand di pentas final edisi lalu.

"Saya akan menggunakan senarai pemain terdahulu sebagai panduan tetapi bukan semuanya akan kekal.

"MPFL merupakan pelantar buat saya untuk mengesan bakat-bakat baru.

"Saya yakin akan muncul pemain baru berbakat selain bergantung kepada pemain sedia ada.

"Kedudukan pemain sedia juga bergantung kepada prestasi dalam liga," katanya.