Tyson Fury 100 peratus pasti bahawa dia bakal menggantung sarung tinjunya selepas pertarungannya dengan Dillian Whyte pada bulan depan, secara tidak langsung menimbulkan keraguan sama ada dia akan berdepan lagi dengan Anthony Joshua.

Kem Fury dan Joshua dikatakan hampir mencapai persetujuan untuk pertarungan heavyweight tahun ini namun perjanjian itu gagal direalisasikan.

Sebaliknya, Fury memilih berdepan satu lagi nama besar tinju British iaitu Whyte yang akan dihadapinya di Stadium Wembley pada 23 April depan dengan tali pinggang WBC menjadi pertaruhan.

Bagaimanapun, peninju berusia 33 tahun itu berkata dia tidak berhasrat untuk meneruskan kariernya tersebut selepas berdepan Whyte yang tidak menghadiri sidang media pertama berkenaan.

Fury berkata pertarungan itu 100 peratus akan menjadi yang terakhir dalam kerjayanya.

"Saya adalah juara dunia dua kali yang tidak boleh dipertikaikan lagi," tambahnya.

"Ini akan menjadi pertarungan terakhir dalam kerjaya saya, saya akan bersara selepas ini.

"Dengan $150 juta (RM628.8j) di dalam bank, tiada apa lagi yang perlu dibuktikan kepada sesiapa. Saya dalam keadaan sihat, muda dan saya akan membeli kapal layar besar di luar negara.

"Saya akan bersara, saya mahu undur diri, ini adalah pertarungan terakhir saya. Cukuplah setakat ini."

Fury telah memenangi 31 daripada 32 pertarungan profesionalnya yang menyaksikannya tewas sekali dalam aksi pertama daripada tiga pertemuannya dengan Deontay Wilder -– dia memenangi pertarungan kedua dan ketiga.