Pemain tengah skuad hoki negara, Fitri Saari, lega terlepas ulangan mimpi ngeri Sukan Asia 2018 apabila berjaya melindungi pintu gol pada hujung permainan berikutan asakan bertali-arus yang dilancarkan Jepun.

Semua pemain negara berkubu dalam kawasan sendiri untuk tempoh lama ketika Jepun memburu gol penyamaan.

Disiplin tinggi menjadi kunci untuk melindungi gawang dalam misi untuk memastikan kemenangan 4-3 dalam aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak, malam tadi.

Kejayaan itu menjadi petanda bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran final seperti ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Kami kena belajar daripada kegagalan dalam Sukan Asia 2018. Hari ini, kami memberi ruang di bahagian benteng yang membolehkan Jepun menjaringkan dua gol.

"Kami perlu meneliti semula rakaman perlawanan ini, khususnya dalam suku terakhir," katanya.

Fitri optimis kemenangan ke atas Jepun mampu menjadi titik-tolak kepada Malaysia untuk menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat julung kalinya.

"Insya-Allah kami akan ke final dan saya mohon peminat Malaysia agar mendoakan kejayaan kami untuk menjuarai Piala Sultan Azlan Shah," ujarnya lagi.