Lima setengah tahun sejak kali terakhir mereka bertembung dalam perlawanan akhir Grand Slam, Roger Federer dan Rafael Nadal akan bersemuka lagi esok dengan gelaran Terbuka Australia menjadi pertaruhan.

Pada edisi 2009, Nadal mengecewakan Federer dalam perlawanan akhir. Sejak kejayaan itu, mereka hanya bertemu sekali, iaitu di pentas Roland Garros pada 2011 untuk Nadal memperbaiki rekod pertemuan final Grand Slam mereka yang memihak kepada bintang Switzerland itu, 6-2.

Untuk rekod keseluruhan, Nadal lebih unggul dengan 23 kemenangan sepanjang 34 kali pertemuan mereka.

Pertembungan dua legenda era moden itu mengulangi aksi klasik mereka, dengan kedua-dua pemain mengakui ia adalah pertembungan istimewa mereka.

Oktober lalu, Federer membantu rakan dan seterunya itu untuk membuka Akademi Rafa Nadal di Mallorca -- ketika kedua-duanya dilanda kecederaan dan bergelut untuk mengulangi kegemilangan mereka.

Selepas mengetepikan Grigor Dimitrov di peringkat separuh akhir, Nadal berkata: "Dalam situasi itu, sudah tentu kami tidak pernah terlintas untuk berpeluang bertemu lagi dalam perlawanan akhir.

"Adalah hebat kami dapat mengulangi detik ini."

Sebelum ini, tiada siapa yang menyangka mereka akan saling berentap lagi dalam acara perseorangan lelaki di Arena Rod Laver.

Apatah lagi, kedua-duanya berdepan dengan isu kecergasan tahun lalu sehingga menyebabkan Federer, yang berehat selama enam bulan, diletakkan sebagai pilihan ke-17 Terbuka Australia.

Penyingkiran Novak Djokovic dan pemain nombor satu dunia, Andy Murray, pada minggu pertama juga memainkan peranan dalam menjadikan persaingan semakin terbuka.

Bagaimanapun, Nadal dan Federer tetap berdepan laluan berliku dan sepanjang laluan ke final, mereka menyingkirkan pemain nombor tiga dunia, Milos Raonic, dan juara Terbuka Amerika Syarikat, Stan Wawrinka.

Corak permainan klinikal Raonic tidak berhasil ke atas Nadal manakala Federer tampak tidak dimamah usia apabila bangkit untuk menyekat kemaraan Wawrinka dalam kemenangan lima set keduanya dalam kejohanan ini.

"Sudah tentu semua orang mahu menonton aksi perlawanan akhir ketika ini, termasuk saya," kata Dimitrov sejurus tewas kepada Nadal.

"Saya akan menontonnya. Ia bagus untuk sukan ini."

Pun begitu, Dimitrov sukar untuk memilih pemenang dalam pertembungan ini.

"Saya hanya tahu dua pemain legenda tenis akan berentap pada Ahad dan ia akan menjadi perlawanan yang menakjubkan."