Dominic Thiem menundukkan Rafael Nadal dengan straight set untuk menghampiri babak separuh akhir dalam pertembungan klasik mereka dalam Kejohanan Tenis Final ATP.

Pemain Austria itu memerlukan tiga tie break untuk mengesahkan kemenangan empat set ke atas Nadal dalam Terbuka Australia, Januari lalu, dan mengulangi pertarungan sengit di antara mereka di London, awal pagi tadi.

Thiem, yang memperoleh tiga kejayaan dalam empat pertemuan terdahulu ketika berdepan juara Terbuka Perancis itu, menang 7-6 (9-7), 7-6 (7-4) selepas bertarung hampir dua jam setengah di Arena O2.

Nadal menikmati kemenangan berat sebelah ke atas Andrey Rublev dalam perlawanan pertamanya di peringkat kumpulan kelmarin sementara Thiem perlu mengerahkan kudrat ketika berdepan tentangan Stefanos Tsitsipas.

Mutu servisnya -- hanya melepaskan 15 mata dalam servis pertama, 12 game awal -- menyaksikan tiada tie break sebelum rehat pertama sebelum Thiem memuktamadkan set pertama dengan pukulan kilas ketika bangkit daripada ketinggalan 2-5.





Kedua-dua pemain tidak mahu mengendurkan tahap permainan pada awal set kedua apabila Nadal terlebih dahulu mengutip mata disusuli Thiem.

Thiem akhirnya meraih tie break pertama perlawanan untuk mendahului 4-3 tetapi juara Terbuka AS itu gagal mengekalkan kedudukannya tatkala Nadal enggan berputus asa.

Permainan kurang menjadi daripada pemain Sepanyol itu menghadiahkan tiga mata buat lawannya, sekali gus mungkin memaksa juara grand slam 20 kali berkenaan perlu menunggu lebih lama dalam pemburuan trofi sulung Final ATP.

Dalam set kedua, pukulan ke belakang yang menakjubkan membantu Thiem mendahului 4-3 dan walaupun Nadal menyelamatkan dua mata lagi, dia masih belum mampu mengelak kekalahan keenamnya tahun ini.

"Saya fikir ia adalah pertarungan yang hebat sejak mata pertama lagi hingga yang terakhir," kata Thiem kepada Amazon Prime Sport.

"Saya cukup beruntung untuk menawan set pertama selepas ketinggalan 2-5 dalam tie break, apatah lagi menentang Rafa. Jadi bagus untuk memenangi set pertama tetapi saya masih perlu terus fokus.

"Saya berasakan keseluruhan perlawanan ini berlangsung di tahap tinggi tetapi saya sangat gembira dengan servis sendiri. Ketika saya membuat servis pertama, saya sering mengasak. Ketika saya berada dalam situasi sukar, servis banyak membantu saya. "