Skuad bola keranjang wanita negara terpaksa akur dengan kekuatan Filipina dalam saingan Kejohanan Bola Keranjang Wanita Asia Tenggara (SEABA) 2016 apabila tewas 73-77 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Serindit, Melaka, malam ini.

Tiga tonggak Filipina, Allana May, Afril Bernardino dan Almazan Analyn nyata menjadi gandingan berkesan malam ini.

Allana menyumbang 16 mata, diikuti Bernardino dengan 14 mata manakala pemain centre veteran, Analyn, berjaya merekodkan 10 mata.

Keampuhan Analyn memenangi 10 rebound turut menjadi faktor penyumbang kemenangan Filipina.

Walaupun hanya tewas dengan perbezaan empat mata, namun statistik membuktikan skuad negara gagal menterjemahkan lontaran sempurna apabila hanya berjaya menyempurnakan 25 dari 54 percubaan berbanding Filipina dengan 32 daripada 71 percubaan.

Malaysia cuba bangkit dalam suku ketiga menerusi lontaran tiga mata oleh Magadeleine Low -- yang menyumbang 12 mata -- namun masih gagal mengekang asakan Filipina.

Meskipun tonggak utama negara, Yap Fook Yee, berjaya mengutip 23 mata, namun ia masih tidak cukup untuk menghadirkan kemenangan buat negara.

Malaysia bakal menghadapi Laos selepas ini manakala Filipina akan turun buat kali terakhir berdepan Thailand.