Roger Federer tidak melihat pertembungan final Kejohanan Tenis BNP Terbuka Paribas berdepan Stanislas Wawrinka memihak kepadanya.

Pemain tenis berusia 35 tahun itu akan bertemu rakan senegaranya di Indian Wells esok, dengan rekod kemenangan memihak kepada bekas pemain nombor satu dunia itu 19-3 selepas melakar kemenangan dalam separuh akhir Terbuka Australia.

Di sebalik kelebihan memihaknya, pemenang Grand Slam 18 kali itu -- yang menempah slot final apabila menewaskan Jack Sock 6-1, 7-6, (7-4) -- bimbang dengan kebolehan yang dimiliki oleh penyandang juara Terbuka AS itu.

"Saya tidak tahu sama ada ia akan menjadi satu perlawanan yang memihak kepada saya," kata Federer.

"Wawrinka semakin berkembang menjadi pemain tenis yang berpengalaman dan dia dilihat mampu mendominasi saya dalam perlawanan.

"Saya juga berpendapat dia seorang pemain yang bagus ketika bertahan, kemudian berpindah untuk menyerang mencari mata. Servisnya juga semakin tajam. Sebab itu sukar untuk menewaskannya."