Roger Federer mempamerkan permainan cemerlang untuk mengatasi John Isner 6-1, 6-4 dalam aksi final Terbuka Miami, awal pagi tadi.

Servis Isner dianggap sebagai senjata utama wakil Amerika Syarikat itu tetapi Federer tenang dengan mempamerkan persembahan konsisten bagi memastikan kejuaraan keempat di Miami dan ke-101 dalam kariernya.

Muncul naib juara dalam Masters Indian Wells awal bulan lalu, Federer memenangi 21 mata berturut-turut untuk menyaksikan Isner seperti buntu untuk memenangi mata.

Selepas tiga set dirampas Federer, Isner menampilkan permainan lebih berkualiti dalam set kedua sebelum mengalami kecederaan pada kaki kirinya.

Pemain Amerika Syarikat itu sukar untuk bergerak ketika ketinggalan 4-5 dan Federer menggunakan kesempatan itu untuk melengkapkan kemenangan.

Federer, yang sebelum ini muncul juara di Dubai, menjadi pemain pertama untuk memenangi dua gelaran Jelajah ATP bagi tahun 2019.

Selepas tamat perlawanan, Isner berkata kepada Federer, "Anda bermain dengan cemerlang hari ini; anda berada di tahap terbaik sepanjang kejohanan; anda telah memiliki karier yang menakjubkan.

"Ia merupakan satu perkara yang luar biasa apa yang anda lakukan. Kami sangat bertuah memiliki anda dalam sukan tenis dan kami semua mahu anda terus bermain dan tidak akan bersara."