Roger Federer berkata semua pemain harus mengucapkan tahniah kepada Rafael Nadal atas kemenangannya yang ke-11 dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis "yang sukar dibayangkan" di samping bertekad untuk mengalahkan musuh lamanya itu sebagai pemain nombor satu dunia minggu ini.

Roland Garros tidak dapat dipisahkan dengan Raja Tanah Liat itu yang melakar kemenangan 6-4, 6-3, 6-2 ke atas Dominic Thiem dalam perlawanan akhir semalam.

Kejayaan itu meninggalkan Nadal hanya kurang tiga gelaran berbanding 20 Grand Slam yang telah dimenangi oleh Federer -- yang kembali beraksi dalam Jelajah ATP buat kali pertama dalam Terbuka Stuttgart sejak Mac lalu setelah buat kali kedua memilih untuk tidak bersaing di gelanggang tanah liat.

Federer boleh merampas semula kedudukan nombor satu dunia dengan kemaraan ke final di Stuttgart dan sambil mengucapkan tahniah kepada Nadal atas pencapaiannya yang luar biasa, pemain berusia 36 tahun itu sedang memberi tumpuan kepada permainan di gelanggang rumput.

"Saya sudah menjangkakan Rafa akan memenangi Terbuka Perancis, rentaknya di tanah liat masih belum hilang dan sebaik Terbuka Perancis bermula," katanya dalam sidang akhbar di Jerman.

"Kemenangannya mencipta keadaan seperti yang saya harapkan, saya perlu mara ke final di sini untuk kembali ke tangga nombor satu dunia.

"Saya rasa itu sedikit motivasi tambahan tetapi sekali lagi, setelah kalah di sini dalam pusingan pertama (tahun lalu), ia membuatkan saya menetapkan matlamat sebenar. Saya hanya memikirkan satu persatu perlawanan dan jangan memikirkan terlalu jauh ke hadapan.

"Bukannya saya melakukannya pada tahun lalu tetapi jurang permainan di atas gelanggang rumput sangat tipis dan ia tidak terlalu mudah, terutama apabila anda sudah tidak bermain selama tiga bulan.

"Selepas kegagalan tahun lalu, saya bangkit dengan aksi yang jauh mantap dan reaksi saya sangat baik selepas tewas kepada Tommy (Haas), saya tidak tercicir sebarang set lain pada musim gelanggang rumput, ia menggembirakan saya.

"Saya gembira dapat mendapatkan rentak lebih awal dan menguji kekuatan lebih awal, apapun saya sangat teruja berada di sini.

"Saya bermotivasi atas semua sebab ini, apatah lagi sudah lama tidak beraksi. Oleh itu. saya gembira dan tidak rela kalah dalam tiga kejohanan berturut-turut, (Federer tumpas dalam perlawanan akhir di Indian Wells sebelum tersingkir dalam pusingan pertama di Miami), jadi jelas sekali saya ingin mengatasinya."

Mengulas lanjut mengenai kemenangan Terbuka Perancis Nadal, Federer menambah: "Anda boleh menggunakan perkataan memukau hanya untuk menggambarkannya. Untuk memenangi satu kejohanan tunggal sebanyak 11 kali adalah tidak dapat dibayangkan.

"Ia kelihatan begitu mudah sebagaimana dia sekali lagi melakukannya di Paris. Saya tidak dapat menonton perlawanan akhir itu sepenuhnya kerana ketika itu saya baru tiba di sini, saya menjalani latihan memanas badan secara sendirian.

"Bagaimanapun, saya tidak perlu menontonya untuk mengetahui betapa ampuhnya Nadal atas kejayaan menakjubkan yang dia capai. Dia tidak perlu memenangi kejohanan untuk membuktikannya tetapi dia melakukannya dengan pengiktirafan sebagai juara.

"Saya fikir semua pemain dalam kejohanan tersebut perlu mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaannya kerana memenangi kejohanan sebanyak 11 kali adalah sukar dipercayai."