Stan Wawrinka meneruskan kemaraan ke suku akhir dalam aksi lima set penuh epik menentang Stefanos Tsitsipas sambil Roger Federer dan Rafael Nadal mudah mengesahkan tempat dalam kelompok lapan terakhir saingan Terbuka Perancis.

Kedua-dua Wawrinka dan Tsitsipas perlu melepasi aksi pusingan ketiga kelmarin tetapi pemain dari Switzerland itu jelas lebih unggul dengan kemenangan 7-6 (8-6), 5-7, 6-4, 3-6, 8-6 di Suzanne-Lenglen.

Aksi yang berlangsung selama lima jam dan sembilan minit itu dijalankan sewaktu Kei Nishikori mendahului Benoit Paire 6-2 6-7 (8-10) 6-2 dan permainan terpaksa dihentikan.

Awal pagi semalam, Federer melepasi cabaran Leonardo Mayer 6-2, 6-3, 6-3 sambil pemenang 11 kali, Rafael Nadal, mengatasi Juan Ignacio Londero menerusi keputusan sama.

Memandangkan Nishikori dan Paire masih belum menamatkan perlawanan, Nadal perlu menunggu untuk mengetahui lawannya dalam suku akhir nanti.

Dalam saingan wanita, Sloane Stephens menundukkan Garbine Muguruza sebelum melangkah ke suku akhir dan menempah tiket bertemu pemain Britain, Johanna Konta.

Stephens -- yang merupakan naib juara Roland Garros tahun lalu -- mempamerkan kebangkitan daripada kelemahan set pertama untuk menewaskan juara 2016 itu 6-4, 6-3 di Philippe-Chatrier.

Pilihan ketujuh itu bakal melakukan perhitungan dengan Konta setelah pemain berusia 28 tahun itu melepasi halangan Donna Vekic 6-2, 6-4.

Petra Martic yang menyingkirkan Karolina Pliskova dalam pusingan ketiga, bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kaia Kanepi 5,7 6,2, 6-4 untuk mengesahkan pertemuan dengan pemain muda, Marketa Vondrousova, setelah pemain berusia 19 tahun itu melepasi halangan pilihan ke-12, Anastasija Sevasto, 6-2, 6-0 dalam tempoh sejam.