Roger Federer berkata Novak Djokovic merupakan pilihan untuk memenangi Terbuka Australia walaupun mengalami kekalahan mengejut di Doha kelmarin.

Djokovic terlepas peluang untuk meraih kejuaraan pertama tahun ini apabila tewas di tangan Roberto Bautista Agut dalam separuh akhir Terbuka Qatar.

Pemain nombor satu dunia itu juga tersingkir di peringkat pusingan keempat buat kali pertama dalam tempoh 12 bulan selepas tewas dalam pusingan kedua pada 2017.

Federer menampilkan persembahan memukau tatkala Switzerland mengekalkan kejuaraan Piala Hopman di Perth semalam.

Walaupun menjulang trofi di Melbourne dalam dua tahun terakhir, pemenang 20 kali grand slam itu menegaskan Djokovic akan bangkit sambil mengintai kejayaan dalam kejohanan utama buat kali ketiga berturut-turut.

"Saya rasa dia pilihan utama kerana selain apa yang berlaku di Doha, dia sangat kuat dalam lima atau enam bulan terakhir," ujar Federer.

"Dia bergelut di peringkat awal tetapi berbekalkan kelas tersendiri serta sebaik sahaja menemui sentuhan, dia sukar untuk ditewaskan."

Federer juga menjelaskan dia gembira melihat pencabar yang cuba untuk menyekatnya mempertahankan kejuaraan bulan ini.

"Saya merupakan sebahagian daripada 10 pilihan kejohanan. Kami masih belum tahu tentang undian dan saya tidak tahu siapa lawan yang pertama. Begitu juga waktu permainan yang masih belum diketahui.

"Untuk bercakap mengenai siapa bakal muncul pemenang, kami tahu calon-calonnya dan saya merupakan salah seorang daripada mereka. Ia bagus," ujarnya.