Roger Federer mengakui gagal mempamerkan persembahan terbaik apabila tewas kepada Borna Coric, sekaligus terlepas aksi final Terbuka Shanghai.

Coric menewaskan Federer dalam Terbuka Gerry Weber, Jun lalu, dan sekali lagi melakar kejutan semalam apabila menewaskan pemenang grand slam 20 kali itu 6-4, 6-4 untuk berdepan Novak Djokovic.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang tidak berdepan sebarang break point, memenangi 84 peratus mata menerusi servis pertama untuk mara ke final Jelajah Dunia 1000 buat kali pertama.

Federer, yang bakal digantikan oleh Djokovic sebagai pemain nombor satu dunia apabila terlepas gelaran ke-99, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan persembahannya minggu ini.

Pemain berusia 37 tahun itu menyedari dia mampu meningkatkan lagi persembahannya untuk kejohanan akan datang.

"Secara keseluruhan, saya berasa sangat baik beraksi di gelanggang. Ia merupakan sesuatu yang boleh dipertingkatkan untuk saingan di Basel, kemudian di London dan mungkin di Paris. Saya berpuas hati dengan keadaan fizikal saya minggu ini," kata Federer.

"Saya dapat berasakan terdapat beberapa elemen yang boleh dipertingkatkan lagi untuk aksi akan datang.

"Coric menampilkan persembahan berkualiti dalam perlawanan ini. Dia tidak memberikan banyak ruang kepada saya.

"Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan persembahan ini selepas berakhirnya Terbuka AS tempoh hari."