Bekas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, akan memulakan tugas sebagai jurulatih program pembangunan kebangsaan, bermula Selasa depan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja di antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kontraknya sehingga hujung tahun ini dan Insya-Allah ia akan disambung dan pelantikan ini membolehkan kami mencari bakat baru menerusi program wanita.

"Menerusi pengalaman yang ada padanya, dia boleh melahirkan pelumba-pelumba baru disebabkan sekarang ini kami kekurangan atlet-atlet di peringkat antarabangsa," kata Naib Presiden PKBM, Firdaus Arshad dalam selepas selesai mesyuarat itu di Bukit Jalil, hari ini.

PKBM juga mengubah venue Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan, yang bermula 19 September depan, ke Melaka.