Peninju profesional negara, Farkhan Haron, teruja apabila diberikan kesempatan oleh Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk menjalani rawatan pemulihan di pusat perubatan dan kecergasan pasukan Harimau Selatan itu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, peninju dengan rekod kemenangan KO 11-0 itu berkata dia mahu memanfaatkan peluang keemasan itu untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi hujung tahun ini.

"Saya sudah menjalani pembedahan di bahu kanan saya kerana ada arthritis di bahagian bahu saya dan doktor sudah membetulkannya.

"Cuma apabila melakukan semakan semalam, masih ada masalah lain, jadi saya meneruskan proses pemulihan saya pusat latihan JDT.

"Saya rasa kecederaan itu disebabkan oleh kecederaan kecil yang saya alami sebelum ini tetapi ia tidak dirawat dengan betul, jadi ia menjadi semakin buruk.

"Saya perlu mencuba untuk pulih dalam masa dua atau tiga bulan ini kerana saya ada kejohanan yang sepatutnya diadakan pada bulan depan tetapi ia terpaksa dibatalkan kerana kecederaan saya.

"Jadi, saya perlu bersedia dan berusaha untuk pulih kerana saya ada kejohanan pada penghujung tahun ini," katanya.





*Kredit foto: Johor Southern Tigers