Peninju profesional negara, Farkhan Haron, tidak berdepan masalah untuk mempertahankan tiga tali pinggang kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Iskandar Puteri hujung bulan lalu, namun mengakui berasa gementar menjelang pertarungan itu.

Dengan menewaskan jaguh Tanzania, Pascal Ndomba, dengan technical knock-out (TKO) dalam pusingan ketujuh, peninju kelahiran Johor itu mempertahankan tali pinggang cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia, Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia dan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) Antara Benua.

Walaupun dilihat mudah untuk menewaskan peninju yang digelar 'Mike Tyson Afrika' itu, Farkhan dalam satu temubual [email protected] sebentar tadi mendedahkan bahawa dia sebenarnya berada dalam keadaan tertekan dan gementar sebelum memulakan pertarungan itu.

"(Ndomba) peninju yang amat berpengalaman dengan rekod 24-9-2

"Bagi saya, ia akan menjadi pertarungan yang bagus dan sengit.

"Ketika tiba di sini, dia melancarkan permainan psikologi dengan berkata mahu menumbangkan saya dalam pusingan kelapan.

"Sebagai peninju, saya mengambilnya dengan positif kerana belum tentu perkara itu terjadi.

"Semua orang boleh bercakap.

"Saya hanya bertenang dan membiarkan peninju terbaik menang," katanya.

Ndomba nyaris mengotakan kata-katanya apabila melakukan asakan padu dalam pusingan keenam yang hampir menumbangkan Farkhan tetapi dua tumbukan tepat yang dilepaskan jaguh negara itu ke arah hulu hati dan rusuk juara Afrika berkenaan membolehkannya melebarkan rekod kemenangan KO kepada 11-0.

"Untuk makluman semua, saya merupakan peninju Asia pertama memenangi gelaran penyatuan itu dalam kategori cruiserweight.

"Sememangnya saya agak gementar tetapi sentiasa meletakkan diri saya dalam keadaan positif dan tidak mahu terlalu yakin.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu merendah diri walaupun dia dari Afrika.

"Bagi saya, siapa yang memiliki persediaan lebih baik dan dapat mempamerkan persembahan terbaik, dia akan menang," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa