"Malaysia akan muncul juara." Itu keyakinan yang dilaungkan Faizal Saari selepas digugurkan pada saat-saat akhir menjelang pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, Sabtu ini.

Penyerang hoki negara itu terpaksa diketepikan ekoran kecederaan hamstring.

Sehubungan itu, dia melahirkan rasa kecewa apabila digugurkan beberapa jam sebelum skuad negara berlepas ke Dhaka.

Begitupun, penyerang Terengganu Hockey Team (THT) itu akur dengan keputusan ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, kerana yakin dengan ketajaman jentera serangan yang dimiliki negara.

"Saya terima keputusan ini, lagipun kalau berdasarkan ranking, kedudukan kita adalah paling atas.

"Demi kebaikan jangka panjang, saya perlu akur (dengan keputusan jurulatih) kerana perjalanan (karier) saya masih jauh," katanya.

Faizal disahkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring selepas beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

Tempatnya akan digantikan oleh penyerang Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ramadan Rosli.

Selain Faizal, The Malaysian Hockey Tigers turut kehilangan khidmat dua lagi penyerang, Mohd Haziq Shamsul, juga akibat kecederaan sementara Firhan Ashaari akan melangsungkan perkahwinan.

Penjaga gol, S. Kumar, pula meminta direhatkan kerana menanti kelahiran anak ketiganya.

"Kita mempunyai peluang yang sangat cerah, dengan kehadiran semula Tengku Ahmad Tajuddin dan pemain-pemain senior seperti Syukri Mutalib dan Fitri Ashaari, saya harap mereka dapat mengekalkan momentum untuk layak ke final."