Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika mengumumkan barisan kabinetnya hari ini.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu memiliki penglibatan luas dalam kerja-kerja belia dan memainkan peranan penting dalam penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Perak pada 2018.

Ahmad Faizal, dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya berkata: "Saya menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kepercayaan YAB Perdana Menteri untuk memberi khidmat bakti melalui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

"Saya amat berbesar hati berpeluang untuk memberi khidmat kepada seluruh warga belia Malaysia. Saya juga bersyukur dapat berperanan dalam meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan melonjakkan nama negara di persada dunia.

"Pengalaman panjang saya bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai peranan penting untuk memperkukuh naratif 'Keluarga Malaysia' yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri. Saya yakin, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kita bangkit semula," katanya.