Inai masih merah di jari, namun Faiz Helmi sanggup menyertai skuad hoki negara bagi menghadapi baki saingan Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua di Dhaka, Bangladesh.

Mengakui pengorbanan untuk negara cukup penting, Faiz, yang baru melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu, menjelaskan sebab utama dia sanggup terbang ke Dhaka.

"Apa saya lakukan ini adalah demi negara. Sselepas majlis perkahwinan saya selesai, saya mahu menyelesaikan misi bersama skuad negara," jelasnya dalam temu bual dengan Nadi Arena.

Pemain berusia 25 tahun itu melihat prestasi rakan sepasukan cukup baik dan dia tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri.

"Aksi rakan sepasukan nampak kuat, saya juga tidak berdepan masalah untuk beraksi bersama mereka."

Menjelang perlawanan berdepan Fiji esok, Faiz mengakui dia mungkin turun hanya untuk beberapa minit bagi mendapatkan 'match fitness'.

"Saya akan beraksi buat beberapa minit bagi menguji keadaan padang. Mungkin saya akan bermain sepenuh masa di peringkat suku akhir nanti."

Sementara itu, kehadiran Faiz menyuntik semangat di kem negara kerana dia melangkapkan senarai 18 pemain The Malaysian Hockey Tigers.

Malah, ia memberi peluang kepada beberapa pemain direhatkan, apatah lagi Malaysia hampir pasti menjuarai Kumpulan A.

"Saya rasa kehadiran Faiz banyak membantu kami kerana pemain agak penat dengan hanya ada 17 pemain sebelum ini. Dengan 18 pemain, sudah tentu ada yang akan mendapat rehat," ujar pemain tengah, Fitri Saari.

Pada masa sama, penjaga gol negara, Mohd Hairi Abd Rahman, ingin beraksi sepenuh masa berdepan Fiji agar mendapat persediaan terbaik bagi menghadapi perlawanan akan datang.

"Saya ingin beraksi untuk tempoh lama berdepan Fiji. Ia persiapan terbaik diri saya bagi menghadapi perlawanan akan datang," katanya.