Musim baru Formula Satu (F1) disingkap dengan cukup menarik apabila Kejuaraan Grand Prix Australia menjadi milik Sebastian Vettel buat kali ketiga tatkala juara 2017, Lewis Hamilton, memperlihatkan pemanduan lebih baik.

Seperti mana Ferrari dan Mercedes bersaing sebagai pengeluar terbaik, begitu juga dua pemandu utama mereka, Vettel dan Hamilton, yang mengintai kejuaraan keseluruhan kelima dalam kempen kali ini.

Hamilton, yang unggul dalam pusingan kelayakan di Albert Park semalam, mempamerkan aksi meyakinkan dalam perlumbaan sebenar dengan Vettel mengintai dari petak ketiga.

Tindakannya memasuki hentian pit lebih awal mengundang risiko apabila kedudukannya dipintas Vettel sambil insiden kemalangan yang membabitkan Romain Grosjean dalam pusingan ke-20 memberi kelebihan kepada Vettel untuk mengekalkan pendahuluannya.

"Kami bernasib baik dengan kereta keselamatan," kata Vettel.

"Saya sangat seronok. Saya harap dapat memulakan perlumbaan dengan lebih baik tetapi tidak menjadi, jadi saya terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga.

"Saya agak ketinggalan berbanding Lewis dan Kimi di hadapan.

"Saya berdoa agar kereta keselamatan keluar, kemudian ada kereta yang berhenti di selekoh keempat sebelum kereta Haas berhenti di susur keluar selekoh kedua. Sebaik melihatnya, semangat saya berkobar-kobar.

"Mereka berdua tampak sukar diatasi tetapi kami perlu memasuki hentian pit dalam waktu tertentu. Sebaik saya keluar dari situ dan mendahului, saya sedar adalah sukar untuk memotong saya lagi.

"Hamilton terus memberikan tekanan, khususnya pada awal pendahuluan saya, namun saya menikmati perlumbaan pada lima pusingan terakhir," kata Vettel.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen, yang memulakan saingan di petak kedua menyempurnakan kedudukan podium selepas berhempas-pulas mengatasi pelumba tuan rumah, Daniel Ricciardo, yang cuba bangkit daripada kekecewaan dikenakan penalti.

Tempat kelima dimenangi Fernando Alonso yang masih berpuas hati dengan potensi yang dimiliki jentera McLaren yang bernadikan enjin Renault itu.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen, terpaksa akur di kedudukan keenam kerana permulaan kurang baik selain keretanya yang berpusing.