Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel, menjuarai perlumbaan pertama Grand Prix Formula Satu (F1) musim ini di Litar Albert Park, Australia, sebentar tadi.

Ia adalah kejayaan paling manis Vettel selepas gagal menduduki tempat pertama dalam semua perlumbaan F1 musim lalu.

Vettel, yang bermula dari petak kedua, mencatat 1 jam 24 minit dan 11.672 saat untuk meninggalkan dua pelumba Mercedes, Lewis Hamilton 9.975s yang berada di tempat kedua dan Valtteri Bottas (ketiga) dengan perbezaan 11.250s.

Rakan senegara Finland Bottas dan pelumba pasukan Ferrari, Kimi Raikkonen, menamatkan saingan di tempat keempat, berada di depan Max Verstappen (Red Bull) dan Felipe Massa (Williams).

Pelumba Sepanyol daripada pasukan McLaren, Fernando Alonso, yang tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya, menamatkan perlumbaan di tangga ke-14.

Selepas sesi ujian masa semalam, Alonso meluahkan kekecewaan apabila sekadar layak untuk bermula di petak ke-13.

Juara dunia dua kali itu sudah menjangkakan dia akan berdepan perlumbaan sukar selepas mengalami masalah dengan enjin Honda MCL32 dalam pra-musim.