Max Verstappen mengakui bahawa dia terkejut untuk memenangi Grand Prix Ulang Tahun ke-70 di Litar Silverstone malam tadi.

Pasukan Mercedes mendominasi empat perlumbaan pertama Formula 1 (F1) musim 2020 dan dilihat akan meneruskan penguasaan mereka apabila mengisi dua petak hadapan dalam perlumbaan itu.

Bagaimanapun, Verstappen mempamerkan pemanduan bijaknya untuk melonjakkan diri dari petak keempat dengan pemilihan Red Bull untuk menggunakan tayar dengan kompaun lebih keras banyak membantunya memperoleh kejuaraan kesembilan dalam keriernya sementara jentera Mercedes pula kelihatan bergelut dalam cuaca panas di litar itu.

Pemandu berbangsa Belanda itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 11 saat di depan pencabat terdekat, Lewis Hamilton, yang memintas seorang lagi pemandu Mercedes, Valtteri Bottas, pada penghujung saingan.

Pemandu Red Bull itu mengakui terkejut dengan penamat perlumbaan berkenaan.

"Saya tidak sedar kemenangan ini akan tiba tetapi sejak dari awal, tayar kami amat bagus," kata Verstappen, yang mengatasi Bottas untuk mengisi tangga kedua kedudukan keseluruhan kategori pemandu.

"Tetapi sudah pasti selepas itu terdapat persoalan mengenai bagaimana pemanduan Mercedes dengan tayar yang keras.

"Kami mendapat rentak yang baik dengan jentera ini dan saya tidak ada isu langsung dengan tayar. Kami hanya meneruskan usaha.

"Ia sudah pasti satu keputusan yang luar biasa untuk memenangi perlumbaan di sini, kami mempunyai hari yang hebat -- segala-galanya menjadi dan kami memiliki strategi yang tepat.

"Semuanya berjalan lancar dan saya amat gembira dengan kemenangan ini," katanya.