Kereta Formula Satu (F1) akan dilengkapi dengan sistem perlindungan depan, Halo, bermula musim 2018, demikian diumumkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Keputusan itu disahkan selepas mesyuarat Kumpulan Strategi F1 pada hari ini -- dengan wakil semua 10 pasukan yang hadir.

Konsep alternatif yang dikenali sebagai perisai itu telah diuji di Litar Silverstone pada minggu lalu tetapi pelumba Ferrari, Sebastian Vettel, mengadu ia membuatkannya pening.

Dan walaupun laporan majoriti pasukan menolak pengenalan Halo pada pertemuan hari ini, ia akan diperkenalkan bermula musim depan.

"Berikutan keputusan sebulat suara Kumpulan Strategi pada Julai 2017, bagi memperkenalkan perlindungan depan tambahan untuk F1 dan sokongan berterusan daripada pemandu, FIA mengesahkan pengenalan Halo untuk 2018," kata kenyataan FIA.

"Dengan sokongan pasukan, ciri-ciri tertentu reka bentuknya akan dipertingkatkan lagi.

"Setelah dibangunkan dan dinilai sejumlah besar peranti dalam tempoh lima tahun lalu, ia jelas bahawa Halo menyajikan prestasi terbaik untuk keselamatan keseluruhan."