Duo Red Bull, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen, ditegur oleh pengurus-pengurus atas insiden perlanggaran mereka dalam Grand Prix (GP) Azerbaijan, semalam.

Ricciardo melanggar bahagian belakang jentera Verstappen ketika rakan sepasukannya itu berjuang untuk merebut tempat keempat di Baku sehingga mereka gagal menamatkan baki 11 pusingan lagi.

Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner, berkata pasangan itu sempat berbalah mengenai insiden berkenaan dalam perlumbaan penuh aksi itu yang menyaksikan Lewis Hamilton muncul pemenang manakala rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas, ditimpa masalah tayar pancit ketika mendahului perlumbaan.

Pemandu Ferrari, Kimi Raikonnen meraih tempat kedua dan Sergio Perez dari pasukan Force India, ketiga.

Ricciardo -- juara GP China dua minggu lalu -- dan Verstappen terpaksa dipisahkan oleh pegawai keselamatan sebelum kedua-duanya meminta maaf kerana membuat kerosakan bernilai tinggi sambil Horner menyalahkan kedua-dua pelumba terbabit.

Ricciardo dari Australia berkata: "Pastinya ia merupakan perlumbaan yang hura-hara dan saya banyak menyumbang kepadanya. Saya telah menonton beberapa rakaman ulangan dan satu-satunya perkara yang kami boleh katakan adalah memohon maaf kepada pasukan. Ini adalah perkara terakhir yang kami mahukan.

"Kami mahu berlumba dan saya bersyukur kerana pasukan ini membolehkan kami berlumba. Kami cuba untuk tidak bersengketa dan memberi ruang sesama sendiri tetapi kami terbabti dalam perlumbaan sengit dan akhirnya kami mengundang risiko.

"Saya tidak akan bercakap mengenai kejadian ini tetapi ini adalah senario terburuk dan semua orang agak patah hati. Saya sendiri akan meminta maaf kepada pasukan dan sekali lagi saya kesal kerana kami semua terbabit dalam situasi ini tatkala semua orang telah bekerja keras untuk menghasilkan sebuah kereta yang baik," ujarnya.

Verstappen yang sempat mengalami mimpi ngeri pada awal musim ini dan oleh kerana itu, pelumba Belanda itu berkata dia dan Ricciardo akan belajar daripada kesilapan.

"Hari ini sangat mengecewakan buat pasukan dan kami kehilangan banyak mata. Saya tidak fikir kami perlu bercakap mengenai kesalahan kerana kami berlumba untuk pasukan serta mewakili ramai pihak. Jadi, apabila ini berlaku ia tidak baik bagi kami berdua," kata pelumba berusia 20 tahun itu.

"Hentaman itu sangat kuat dan kelajuan kami hampir sama, jadi kami sentiasa rapat di antara satu sama lain. Sebelum kemalangan itu, ia perlumbaan yang sengit tetapi adil selain turut memberi ruang kepada pemandu lain. Tayar kami bergesel sedikit tetapi saya fikir dalam perlumbaan ia boleh berlaku, namun apa yang berlaku selepas itu bukanlah perkara yang bagus.

"Kami akan belajar daripada kejadian ini dan perlu memastikan ia tidak berlaku lagi. Saya tidak fikir dengan menghalang kami daripada perlumbaan merupakan tindakan bijak dan kami bercakap tentang hal ini sebagai sebuah pasukan dan belajar daripada situ.

"Kami sentiasa bersikap adil di antara satu sama lain dan akan membincangkan perkara ini dengan segera. Buat masa ini, saya hanya mahu memohon maaf kepada pihak yang kami wakili di sini dan di kilang juga," katanya lagi.