Pendahulu kategori pemandu Formula Satu (F1), Lewis Hamilton, tidak meragui keupayaannya untuk meraih kemenangan keenam untuk bergelar juara dunia musim ini.

Sebelum ini, pemandu Mercedes AMG Petronas dari Great Britian itu dinobatkan selaku juara dunia dalam lima edisi, iaitu 2008, 2014, 2015, 2017 dan 2018.

Biarpun berdepan cabaran sengit daripada pasukan Ferrari musim ini, pemandu berusia 34 tahun itu masih bernafsu besar dalam mengungguli gelaran dunia keenamnya apabila berhasrat mengutip mata dalam aksi Grand Prix (GP) Russia, hujung minggu ini.

Hamilton, yang ditemui dalam majlis pelancaran produk pelincir terbaru Petronas di Kuala Lumpur hari ini, ketika ini telah mengumpul 296 mata untuk mendahului pelumba lain selepas memenangi lapan daripada 15 perlumbaan.

"Matlamat saya adalah untuk kembali meraih keputusan yang lebih baik tetapi ia memerlukan usaha sepasukan.

"Kami perlu tampil dengan strategi yang lebih baik dan mencipta keputusan lebih baik dalam sesi kelayakan.

"Namun, secara jujurnya kali ini kami telah mengharungi musim yang menakjubkan," katanya.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan kerinduannya untuk berlumba di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang tidak diteruskan ekoran membabitkan perbelanjaan yang tinggi.

"SIC merupakan antara perlumbaan yang sukar kerana faktor selekohnya.

"Ia litar yang paling memenatkan secara fizikal, mental serta jentera dan pasukan.

"Kereta saya tidak mempunyai penghawa dingin," selorohnya.