Lewis Hamilton sudah bersedia untuk menghadapi ujian getir Grand Prix (GP) Arab Saudi selepas merebut petak hadapan untuk perlumbaan awal pagi esok dalam usaha penyandang juara dunia itu mengekalkan gelarannya.

Hamilton akan bermula di petak paling depan di Jeddah, di mana pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Max Verstappen, melanggar tembok dalam pusingan terakhirnya.

Verstappen melakar catatan terpantas dalam dua sesi awal ujian bebas tetapi mengalami kemalangan di selekoh terakhir hingga terpaksa berhenti, ini bermakna dia akan memulakan perlumbaan itu di petak ketiga untuk berada di belakang Hamilton dan rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas.

Hamilton memenangi dua perlumbaan terakhir untuk merapatkan jurang kedudukan pemandu dengan lapan mata dan perlu mengelak daripada dikenakan hukuman berat gara-gara menghalang Nikita Mazepin dan gagal mematuhi bendera kuning ketika ujian bebas ketiga.

Jika mereka menamatkan perlumbaan GP Arab Saudi dengan mengekalkan kedudukan seperti sesi kelayakan iaitu Hamilton, Bottas diikuti Verstappen –- maka juara dunia tujuh kali itu berpeluang kembali mendahului kategori pemandu menjelang perlumbaan penentuan di Abu Dhabi, minggu depan.




"Ini adalah antara trek yang paling sukar, pecutan saya terhad sepanjang perlumbaan ini dan kereta dalam keadaan bahaya," kata Hamilton.

"Untuk pecutan maksimum dengan tayar ini adalah sangat sukar.

“Ia sukar untuk difahami memandangkan ia sangat panas di sini tetapi kami menghadapi masalah untuk mendapatkan suhu di bahagian depan dan belakang bagi mendapatkan cengkaman pada permulaan pusingan.

"Saya sangat berbangga dan bersyukur kerana kami dapat mengharunginya. Ia akan menjadi perlumbaan yang sengit. Penting untuk mempunyai Valtteri di sebelah saya terutama di peringkat seperti ini.

"Dia telah memandu dengan hebat, sangat baik dan esok, semoga kami saling memandu dengan baik."