Atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, enggan keseorangan apabila mengharapkan namanya disenaraikan dalam program Kita Juara setelah digugurkan daripada Program Podium untuk Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini.

Ezuan adalah antara empat atlet menembak yang digugurkan daripada program podium baru-baru ini.

Penembak lain ialah Nur Suryani Mohd Taibi, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli.

Kesan pengguguran itu, atlet terbabit hilang segala keistimewaan selaku atlet elit negara, termasuk khidmat jurulatih dan peralatan senjata Majlis Sukan Negara (MSN).

Sekalipun berlatih bersendirian, ia tidak memberi masalah kepada Ezuan walaupun masih mengharapkan sokongan daripada MSN.

"Buat masa ini, saya teruskan latihan bersendirian di bawah persatuan menembak, saya berlatih tanpa jurulatih.

"Saya akan gunakan pengalaman selama 14 tahun saya dalam menembak. Itulah yang akan saya gunakan sehingga Sukan SEA," katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 itu kembali ke tanah air selepas beraksi dalam Kejohanan Piala Dunia di India, minggu lalu.

Ezuan mengakui semangatnya tidak pernah luntur dengan pengguguran itu demi merealisasikan emas dalam Sukan SEA di laman sendiri.

"Orang kata, kita jatuh dulu barulah kita berdiri dan berlari. Perkara-perkara seperti ini dijadikan sebagai positif untuk lebih berjaya lagi. Saya akan teruskan persiapan saya," tambahnya.