Itali mengintai untuk menyamai rekod tanpa kalah sepanjang zaman, 30 perlawanan, dan mendominasi tangga teratas Kumpulan A, Euro 2020 apabila mereka menentang Wales di Stadio Olimpico, tengah malam esok.

Skuad Azzurri memenangi dua perlawanan pembukaan mereka dengan jaringan 3-0 ke atas Turki dan Switzerland bagi mencetak 10 kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi.

Pasukan bimbingan Roberto Mancini itu sudah terjamin untuk ke pusingan 16, tetapi mereka memerlukan satu mata lagi ketika bertemu Wales yang menguasai di tempat kedua untuk menjamin kedudukan puncak.

Kemenangan tetap akan menjadi sasaran Itali di kandang sendiri dalam usaha mereka mengulangi rekod tanpa kalah yang dilakar di antara November 1935 hingga Julai 1939 itu.

Mancini mendedahkan akan membuat rombakan sebagai persediaan menghadapi peringkat kalah mati, namun pertahanan berpengalaman, Giorgio Chiellini, memberi amaran kepada Itali agar tidak memandang rendah Wales.




"Mereka adalah pasukan yang mantap," kata ketua pasukan itu yang dijangka tidak akan memainkan peranan dalam pertemuan berkenaan.

"Wales telah beraksi bersama selama bertahun-tahun dan kami cukup mengenali mereka.

"Ada banyak perubahan kecil tetapi mereka tidak pernah berevolusi, jadi mereka adalah lawan yang sukar."

Wales juga menghampiri pusingan 16 terakhir susulan keputusan seri dengan Switzerland dan kejayaan menewaskan Turki dalam dua perlawanan awal, tetapi mereka juga masih memerlukan satu mata di ibu negara Itali itu untuk memuktamadkan kemaraan.

Rekod pertemuan semi-finalis Euro 2016 itu dengan Itali tidak menyebelahi mereka.

Walaupun tumpas tujuh kali dalam sembilan pertemuan terdahulu termasuk tiga kali gagal merobek gawang lawan, pemain sayap Wales, Daniel James, tetap bersemangat tinggi untuk meleburkan rekod cemerlang Itali yang bermula sejak September 2018 itu.

"Itali adalah sebuah pasukan yang hebat tetapi kami harus percaya bahawa kami mampu menang.

"Kami akan melakukan analisis kami dan kami akan turun dengan bersemangat," katanya.

"Mereka telah mengharungi kejohanan ini dengan hebat, namun kami mahu memenangi setiap perlawanan dan kami beryakinan penuh bahawa kami mampu melakukannya."