Pemain tengah Belanda, Donny van de Beek, terpaksa diketepikan daripada Euro 2020 gara-gara kecederaan.

Van de Beek mengalami kesukaran sepanjang musim 2020-21 bersama Manchester United, di mana dia hanya melakukan 15 penampilan sebagai kesebelasan utama pasukan Ole Gunnar Solskjaer itu.

Pemain berusia 24 tahun itu juga tidak diturunkan dalam perlawanan pemanas badan Belanda menjelang Kejohanan Eropah menentang Scotland dan Georgia.

Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) mengumumkan semalam bahawa Van de Beek akan terlepas Euro 2020 minggu depan dan ketua jurulatih, Frank de Boer, tidak akan mencari pengganti buat bekas anak buahnya di Ajax itu.

"Van de Beek perlu melupakan Kejohanan Eropah." kata KNVB dalam satu ciapan Twitter.

"Pemain tengah itu bergelut dengan kecederaannya. Sehubungan itu, dia tidak dapat terlibat dengan Euro 2020. Frank de Boer tidak akan memanggil pengganti buat Van de Beek."

Tiada sebarang penjelasan lanjut mengenai kecederaan Van de Beek tetapi dia sebelum ini kelihatan menjalani latihan secara bersendirian.

A post shared by OnsOranje (@onsoranje)