Mathieu Valbuena mendedahkan tidak diberitahu oleh Didier Deschamps berhubung panggilan mengejutkan Karim Benzema dalam skuad Perancis.

Penyerang Real Madrid itu dijadual menjalani perbicaraan pada Oktober depan atas tuduhan terlibat dalam pemerasan terhadap bekas rakan sepasukannya Perancis itu berkaitan rakaman seks.

Benzema, 33, dengan tegas menafikan telah memberi tekanan kepada Valbuena agar membayar pemeras ugut itu, yang dikatakan mengancam untuk mengeluarkan video yang memaparkan bekas pemain Marseille dan Lyon itu.

Sejak dakwaan pemerasan itu timbul pada hujung 2015, Benzema digugurkan daripada juara dunia 2018 itu, malah dianggap sudah tidak mempunyai masa depan untuk mewakili Les Bleus -- setidak-tidaknya hingga kesnya dibicarakan di mahkamah.

Namun, kejutan berlaku apabila Benzema terpilih untuk skuad Euro 2020 dan dia dilihat bersiap untuk memainkan peranan penting dalam kejohanan itu.

Valbuena memberitahu RMC Sport: "Adakah jurulatih memanggil saya? Tidak, dan saya tidak mengharapkan apa-apa daripada sesiapa pun. Ketika anda berada di puncak, semua orang akan bercakap tentang anda; apabila anda hilang sedikit daripada radar, anda tidak akan mengharapkan apa-apa daripada sesiapa jua.

"Saya menjalani kehidupan seadanya, menikmati diri di atas padang. Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada Didier atau orang lain. Sekiranya anda ingin tahu sama ada dia memanggil saya, saya katakan tidak."




Kini bersama kelab Greece, Olympiacos, Valbuena, 36, juga kali terakhir menyarung jersi Perancis adalah pada 2015.

Pemain tengah yang pernah membuat 52 penampilan itu memahami mengapa Benzema kembali tersenarai dalam perancangan Deschamps.

"Jika dia mampu menawarkan sumbangan besar buat Perancis, ia jauh lebih baik untuk The Blues," katanya.

"(Segala perselisihan) akan diketepikan. Bagi saya, Didier Deschamps adalah pemenang mutlak. Sekiranya pasukan Perancis berjaya, kita akan mengatakan bahawa dia berdepan cabaran menyesuaikan diri walaupun dalam konteks yang sukar.

"Sekiranya Perancis kurang menyerlah, kita tidak akan menyalahkannya. Dia tahu bagaimana untuk melakukannya dengan baik, dia tahu bagaimana membentuk pasukannya. Di bahagian serangan, dia tidak memberikan jaminan, dia akan menetapkan pilihannya. Saya rasa dia tetap tidak akan rugi apa-apa pun."

Benzema menyumbangkan gol dalam aksi persahabatan menentang Armenia dalam penampilan terakhirnya untuk pasukan kebangsaannya pada Oktober 2016.

Dia mempamerkan prestasi luar biasa sejak beberapa tahun lalu dengan menggondol tiga trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan dua gelaran LaLiga sepanjang ketiadaannya bersama Perancis.