Turkey berdepan Wales dalam Kumpulan A dengan harapan untuk mengelak daripada kekalahan berturut-turut dalam usaha mencari semula rentak dalam saingan Euro 2020.

Dalam aksi pembukaan kejohanan menyaksikan Turki diatasi Itali di Rom, dengan pasukan tuan rumah menang 3-0 di Stadio Olimpico. Keesokkannya, Wales pula bernasib baik apabila seri 1-1 dengan Switzerland, VAR membantu skuad kendalian Rob Page itu apabila menafikan jaringan kemenangan Mario Gavranovic kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Diberikan kebarangkalian untuk melangkah ke pusingan seterusnya menerusi tangga ketiga, pertembungan awal pagi esok di Baku bukan perlawanan wajib menang buat kedua-dua pasukan.

Namun mereka bakal meletakkan harapan untuk mempamerkan persembahan yang lebih baik bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan 16, dengan Turki -- dilihat sebagai 'kuda hitam' kejohanan -- sudah pasti memiliki keyakinan bagi memastikan mereka mengelak daripada kekalahan berturut-turut.

Keputusan bertemu Itali bermakna Turki telah tewas ketujuh-tujuh aksi pembukaan dalam kejohanan utama. Namun, mereka berjaya mara ke pusingan kalah mati dalam tiga kejohanan terakhir jika mereka mengelak daripada tewas dalam aksi kedua peringkat kumpulan (Euro 2000, Piala Dunia 2002 and Euro 2008).

Dan Turki tidak pernah kalah berturut-turut dalam semua pertandingan sejak November 2018. Di bawah kendalian Senol Gunes ketika ini, mereka tidak kalah berturut-turut sejak April 2003.

Wales telah mara ke pusingan seterusnya dalam dua penampilan kejohanan utama -- Piala Dunia 1958 dan Euro 2016 -- tetapi tewas dalam aksi kedua pertandingan tersebut.

Peneyrang, Kieffer Moore, dilihat sebagai watak penting Wales mengelak daripada mengalami kekalahan. Moore meledak gol penyamaan berdepan Switzerland, dengan lima daripada enam gol di peringkat antarabangsanya hadir menerusi aksi kompetitif.

Selepas mengetepikan kekecewaan bertemu Itali, kapten Turki, Burak Yilmaz, berkata mereka sudah besedia membuktikan kepada semua pihak bahawa mereka adalah pasukan yang perlu diambil perhatian.

"Saya percaya suasana negatif daripada perlawanan pertama sudah pudar," katanya. "Kami menyedari kesilapan yang kami lakukan. Kami membincangkan alasan di antara kami untuk perlawanan pertama. Mulai esok, kami akan menunjukkan kemampuan sebenar Turki, kami akan menunjukkan watak kami."

Turki mungkin akan tetap menjadi pilihan untuk mengalahkan Wales, tetapi Page menegaskan pasukannya yakin dapat meletakkan diri mereka dalam kedudukan yang kuat untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Kami mempunyai perancangan rapi yang ingin kami gunakan dalam perlawanan ini, kami berasakan dapat menghadirkan masalah buat Turki," kata Page.

"Turki berdepan aksi sukar ketika bertemu Itali. Mereka akan menyasarkan tiga mata bertemu Wales dan kami sudah bersedia sepenuhnya menghadapi tekanan mereka.

"Tetapi kami juga mengejar kemenangan, dan jika anda mendapat empat mata daripada dua perlawanan, itu akan membuat kami bagus."