Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, menegaskan bahawa tugas skuad Azzurri itu masih belum selesai selepas menutup mulut pengkritik dengan layak ke final Euro 2020.

Itali tidak pernah memenangi Kejohanan Eropah sejak 1968 tetapi mereka hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian itu selepas menewaskan Sepanyol 4-2 dalam penentuan sepakan penalti perlawanan separuh akhir awal pagi tadi.

Perlawanan separuh akhir di Wembley itu berakhir 1-1 selepas masa tambahan sebelum penjaga gol Itali, Guianluigi Donnarumma, menyelamatkan sepakan penalti Alvaro Morata dan Jorginho mengesahkan kemenangan Azzurri menerusi sepakan terakhirnya dalam perlawanan itu.

Dengan melebarkan rekod tanpa kalah kepada 33 perlawanan berturut-turut, Itali akan menantikan sama ada England atau Denmark bagi penentuan gelaran di venue sama.

"Kami gembira untuk memberikan aksi menghiburkan hari ini buat warga Itali dan kami kini masih ada satu perlawanan untuk dihadapi dan kami mahu memenanginya jika mampu," kata Mancini -- yang melakukan transformasi luar biasa dalam skuad Itali sejak gagal layak ke Piala Dunia 2018 -- dalam sidang media.

"Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar kerana daripada segi penguasaan bola, Sepanyol merupakan pasukan terbaik. Mereka memberikan kami banyak massalah, kami perlu menembusi mereka pada waktu yang sesuai. Kami cuba menjaringkan gol dan mencipta peluang apabila boleh kerana ia perlawanan yang amat terbuka dan sudah pasti kami berdepan beberapa isu kerana kami tidak banyak menguasai bola.

"Bagaimanapun, kami mahu layak ke final dan kami terus mencuba sehingga ke penghujung dan seperti biasa, penentuan penalti seperti loteri tetapi saya benar-benar menghormati Sepanyol, mereka pasukan yang hebat," katanya.