SWITZERLAND 2 AMERIKA SYARIKAT 1

Switzerland tampak berada di landasan terbaik menjelang Euro 2020 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) di St Gallen awal pagi tadi.

Skuad kendalian Vladimir Petkovic itu ketinggalan 0-1 sebelum minit kelima apabila Sebastian Lletget memanfaatkan kegagalan pertahanan lawan mengeluarkan bola untuk membuka jaringan buat pelawat.

Penyudah jarak dekatnya itu merupakan jaringannya yang kelima daripada enam perlawanan terakhir AS tetapi kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Ricardo Rodriguez kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Rodriguez menemui sasaran selepas melakukan percubaan yang terbias susulan hantaran lintang Silvan Widmer.

Bagaimanapun, pertahanan kiri Torino itu kemudian mensia-siakan peluang keemasan apabila sepakan penaltinya, selepas bola terkena tangan Sergino Dest, tersasar jauh ke sebelah kanan pada minit ke-41.

Kekecewaan Rodriguez itu ditebus menerusi satu lagi kesilapan daripada pertahanan Barcelona, Dest, untuk pemain gantian, Steven Zuber, menyudahkan peluang terhidang itu pada minit ke-63.

Switzerland, yang memenangi kesemua lima perlawanan terakhir, akan melayani kunjungan Liechtenstein awal pagi Jumaat ini sebelum memulakan kempen Kumpulan A, Euro 2020 dengan menentang Wales di Baku pada 12 Jun ini.