John Stones memuji keunikan yang dimiliki Gareth Southgate dalam cara pengurusannya pada ketika pertahanan Manchester City itu sedang bersedia untuk menghadapi Itali dalam final Euro 2020 awal pagi Isnin ini.

Stones memulakan setiap perlawanan buat The Three Lions sepanjang kejohanan itu, di mana hanya penjaga gol, Jordan Pickford (570) telah beraksi lebih banyak minit berbanding pertahanan tengah itu (559), yang turut merekodkan paling banyak hantaran (424) berbanding mana-mana rakan sepasukannya.

Pemain berusia 27 tahun itu membantu England merekodkan lima perlawanan tanpa bolos sepanjang kejohanan itu sebelum sepakan percuma Mikkel Damsgaard buat Denmark akhirnya menamatkan rekod itu dalam separuh akhir.

Southgate telah melakukan beberapa keputusan yang berani dan tidak digemari ramai sepanjang kejohanan itu tetapi berhasil membawa England ke final kejohanan utama buat kali pertama sejak 1966 -- kali kedua sepanjang sejarah mereka.

Selepas England mengambil pendekatan berhati-lhati ketika menentang Croatia, Scotland dan Republik Czech di peringkat kumpulan, mereka kemudian mempertingkatkan kualiti di bahagian serangan dengan membelasah Ukraine 4-0 dalam suku akhir selepas turut menewaskan Jerman 2-0 dalam pusingan 16.

England juga melakukan 20 percubaan ke atas kubu Denmark sebelum menang 2-1 dalam aksi separuh akhir Stadium Wembley.

"Setiap pengurus yang saya ada mempunyai keunikan dan falsafah tersendiri," kata Stones ketika ditanya mengenai impak Southgate buat England dalam sidang media.

"Saya fikir Gareth telah mencipa satu budaya luar biasa dan ketenangan dalam skuad kami, Ia kualiti uniknya sebagai seorang individu dan pengurus. Dia memiliki staf yang hebat di sekelilingnya dan skuad yang luar biasa dengan perwatakan yang hebat. Salah satu perwatakan terbaiknya adalah tenang sewaktu dalam tekanan.

"Keinginannya untuk menang -- saya fikir ia amat menyerlah, apabila anda memiliki pengurus dengan kualiti seperti itu, ia mengalir ke dalam pasukan dan seterusnya anda akan ikut serta.

"Kami tidak perlu mengubah apa-apa, kami sudah memperbaiki setiap aspek dalam persediaan kami," katanya.