Pertahanan Itali, Leonardo Spinazzola, menaruh harapan agar segera sembuh selepas kecederaan tumit menafikan kelibatnya bagi baki saingan Euro 2020.

Spinazzola antara yang menonjol dalam edisi ini dan membuat hadangan penting ketika mengekang percubaan Romelu Lukaku dalam kemenangan 2-1 skuad Azzurri ke atas Belgium dalam suku akhir di Munich, semalam.

Tetapi pertahanan Roma itu, pernah mengalami kerosakan ligamen yang teruk pada Mei 2018 selain sering dihimpit masalah kecergasan sepanjang kariernya, terpaksa diusung keluar dalam pertembungan semalam dan bakal pertemuan separuh akhir dengan Sepanyol di Stadium Wembley, awal pagi Rabu ini.

Itali melalui Twitter berkongsi video mengenai rakan sepasukannya yang melaungkan namanya dalam penerbangan pulang, lantas pemain berusia 28 tahun itu bersikap positif dalam catatannya di Instagram.

"Sayangnya kita semua tahu bagaimana ia terjadi tetapi impian kami terus bernyala dan dengan kumpulan hebat ini, tiada yang mustahil," tulisnya.

"Saya hanya boleh memberitahu anda bahawa saya akan kembali dengan segera."



Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, memulakan sidang berita pasca-perlawanan itu dengan melahirkan simpati terhadap pemain berkenaan yang menjadi nadi kepada kemaraan Itali.

"Kami amat kecewa dan kesal dengan nasib yang menimpa Spinazzola atas kecederaannya sebab dia beraksi dengan sangat baik," katanya.

"Dia merupakan salah seorang pemain terbaik Euro 2020 dan kami benar-benar terkilan."

Spinazzola mengembalikan penguasaan bola sebanyak 23 kali sepanjang kejohanan benua ini, lebih banyak daripada mana-mana pertahanan Itali yang lain.

Tetapi corak serangannya menawarkan dimensi tambahan kepada pasukan kendalian Mancini itu.

Tujuh peluang yang dihasilkan dalam permainan terbuka merupakan yang kedua terbaik dalam skuad Azzurri di samping Domenico Berardi dan di belakang Marco Verratti (10).