England bukanlah kuasa bola sepak seperti yang disangkakan tatkala mengintai perlawanan akhir pertama sejak menjuarai Piala Dunia 1966.

England sering dikaburi dengan nama besar yang menganggotai kelab gergasi, tapi tidak lebih sekadar menjadi pasukan selebriti tanpa sebarang kejayaan.

Namun, tanggapan itu mula terhakis sejak pelantikan Gareth Southgate lima tahun lalu apabila memacu mereka separuh akhir Piala Dunia 2018, Liga Negara-Negara (UNL) 2019.

Mereka perlu mengatasi rintangan Denmark di peringkat empat pasukan terbaik di Stadium Wembley, awal pagi esok -- berbekalkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Ukraine, Ahad lalu.

"Sejarah bola sepak kami adakalanya bukanlah bagus seperti yang kami sangkakan," katanya dalam sidang akhbar seperti yang dipetik daripada Skysports.

"Pemain-pemain ini menonjolkan kemajuan pesat dan sepanjang masa melepasi rintangan yang dihadapi. Kami telah mengatasi halangan dalam kejohanan ini dan kami mempunyai satu lagi peluang untuk melakukannya.

"Kami tidak pernah ke final Kejuaraan Eropah jadi kami berpeluang menjadi yang pertama untuk melakukannya. Ia sangat menggembirakan semua orang."




Sungguhpun mempamerkan kekentalan di bahagian pertahanan dalam kelima-lima perlawanan setakat ini, Southgate enggan mendabik dada sambil mengakui reputasi yang dimiliki Denmark.

Tambahnya:"Kami tidak pernah menikmati kejayaan. Sudah tentu Denmark pernah menjuarainya jadi rekod mereka lebih baik daripada kami.

"Kadang-kadang saya rasa penyokong kami terlepas pandang mengenainya."