Gareth Southgate memuji Raheem Sterling selepas penyerang Manchester City itu menamatkan badinya dan skuad England dengan menewaskan Croatia 1-0 dalam Euro 2020 malam tadi.

Sterling menyepak masuk bola daripada hantaran Kalvin Phillips pada minit ke-57 untuk menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D itu.

Terdapat banyak pertikaian mengenai kelayakan Sterling untuk mengisi kesebelasan utama pasukan itu berikutan prestasi hambarnya pada penghujung musim di peringkat kelab.

Dia juga gagal menemui sasaran dalam 12 perlawanan terakhir kejohanan utama bersama The Three Lions tetapi menghasilkan 12 gol sepanjang 16 perlawanan antarabangsa sejak Piala dunia 2018 dan ia menunjukkan bahawa ini merupakan masa terbaik untuk dia meneruskan rekod cemerlang itu.


"Saya amat gembira buat Raheem. Dia seperti terkena badi dalam kejohanan seperti ini dengan tidak dapat menjaringkan gol," kata Southgate kepada BBC Sport selepas England memenangi perlawanan pembukaan buat kali pertama dalam 10 percubaan.

"Saya fikir dia amat berbahaya sepanjang perlawanan ini.

"Dia seorang pemain yang bagus dan rekod jaringannya menunjukkan betapa kami perlu ada kepercayaan terhadapnya, terutama sepanjang beberapa tahun ini.

"Saya fikir dia amat bermotivasi untuk membuktikan perkara itu," katanya.