Jurulatih b-19 Belgium, Wesley Sonck, percaya kejayaan tipis Belgium ke atas Portugal, awal pagi tadi, mempunyai kaitan dengan keegoan Cristiano Ronaldo.

Skuad Red Devils itu mara ke suku akhir Euro 2020 dengan menundukkan juara bertahan tersebut menerusi jaringan tunggal Thorgan Hazard yang juga merupakan satu--satunya percubaan tepat Belgium sepanjang perlawanan di Seville berkenaan.

Portugal melancarkan 23 berbanding hanya enam percubaan pihak lawan namun sama sekali buntu untuk menembusi penjaga gol Belgium, Thibut Curtois.

Ronaldo, yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti dan percuma, kini merupakan penjaring terbanyak edisi 2020 selepas mencetak lima gol.

Pemain berusia 36 tahun itu telah bertanggungjawab dalam 33 sepakan percuma sepanjang lima edisi penyertaannya, namun dia belum mampu merobek gawang lawan dengan teknik tersebut dalam temasya kali ini.

Justeru, Sonck berasakan sikap bintang Juventus itu telah memakan dirinya.

"Apapun ia satu sikap yang mementingkan diri.

"Ramai pemain memiliki ego apabila nampak ada peluang dalam sepakan percuma.

"Walaupun terlepas banyak peluang, kalau dia memutuskan untuk ambilnya maka dia akan melakukannya," katanya dalam temu bual maya bersama Stadium Astro selepas perlawanan itu.






Sonck memahami dilema pengendali Portugal, Fernando Santos, tetapi dalam masa sama perlu bersikap tegas dalam soal taktikal dan situasi bola pegun.

"Kalau anda ada pemain seperti Bruno Fernandes yang berkebolehan mengambil sepakan percuma dengan baik selepas membuktikannya bersama Manchester United, anda harus pertimbangkannya.

"Adakalanya Fernandes berada di posisi yang lebih sesuai."