Andriy Shevchenko memuji aksi bagaikan wira pemain Ukraine selepas memastikan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Sweden dalam masa tambahan untuk layak ke suku akhir Euro 2020 awal pagi tadi.

Ukraine layak ke suku akhir Kejohanan Eropah buat kali pertama dalam sejarah hasil jaringan kemenangan minit terakhir masa tambahan Artem Dovbyk selepas gol pembukaan Oleksandr Zinchenko dipadamkan oleh jaringan pemain Sweden, Emil Forsberg.

Skuad kendalian Shevchenko itu seterusnya akan bertemu England -- yang menewaskan Jerman 2-0 di Wembley dalam satu lagi perlawanan pusingan 16 -- di Rome hujung minggu ini.

Kali terakhir Ukraine layak ke suku akhir kejohanan utama adalah dalam Piala Dunia 2006 di mana mereka menewaskan Switzerland sebelum disingkirkan Itali dalam penentuan ke separuh akhir.

"Saya berterima kasih kepada pasukan saya atas setiap usaha mereka, atas aksi perwira yang telah mereka tunjukkan," kata ketua jurulatih itu dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kedua-dua pasukan beraksi baik. Ia Perlawanan yang menarik. Tiada pasukan mahukan kekalahan, jadi kami memenangi drama ini pada penghujungnya.

"Dengan prestasi dan komitmen seperti ini, pasukan kami layak menerima kasih sayang daripada seluruh neragara kami," katanya.