Andriy Shevchenko memuji keberanian pemain Ukraine berikutan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Sweden ketika mereka membuat persiapan untuk mengalihkan tumpuannya ke pertembungan suku akhir Euro 2020 menentang England.

Ukraine mara ke suku akhir Kejuaraan Eropah buat pertama kali hasil jaringan kemenangan Artem Dovbyk dalam masa tambahan selepas jaringan pembukaan Oleksandr Zinchenko dinafikan Emil Forsberg.



Skuad Ukraine kendalian Shevchenko bakal berdepan England, yang mengatasi Jerman 2-0 di Wembley, di Rom Sabtu ini selepas Dovbyk melakar kemenangan pada penghujung 120 minit.

Kali terakhir Ukraine membuat penampilan dalam pusingan kalah mati kejohanan utama hadir pada Piala Dunia 2006 selepas menyingkirkan Switzerland sebelum tewas kepada Itali dalam suku akhir.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya untuk semua usaha mereka, atas keberanian yang mereka tunjukkan," kata ketua jurulatih Shevchenko dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kedua-dua pasukan bermain dengan sangat baik. Ini adalah perlawanan yang menarik. Kedua-dua pasukan tidak mahu kalah, jadi akhirnya kami mendapat kemenangan yang penuh dramatik ini.

"Dengan prestasi dan komitmen ini, pasukan kami berhak mendapat sokongan dari seluruh negara."



Skuad kendalian Shevchenko masih belum berjaya mengelak daripada dibolosi dalam Kejuaraan Eropah, bolos sekurang-kurangnya satu gol dalam 10 perlawanan terakhir, tetapi dia berasakan taktikal pasukan berhasil ketika bertemu Sweden.

"Kami tahu bagaimana pasukan kami perlu bermain dari minit pertama. Kami mengetahui siapa yang dapat menguatkan kami [semasa permainan]. Rancangan yang kami buat telah berjalan dengan baik.

"Kami memutuskan untuk melindungi kawasan yang lebih luas. Kami meminta pemain tengah kami untuk bekerja lebih keras dan mengubah kedudukan Andriy Yarmolenko. Kami cuba mengawal permainan tetapi ia tidak berlaku dari semasa ke semasa. Tetapi pasukan telah memenuhi sepenuhnya rancangan kami."