Harry Kane berkata kepedihan selepas England tewas kepada Itali dalam penentuan sepakan penalti final Euro 2020 awal pagi tadi akan kekal berada dalam jiwa rakan sepasukannya tetapi menggesa pemain yang gagal dalam penentuan itu, terutama Bukayo Saka, untuk tetap berbangga.

Perlawanan akhir di Stadium Wembley itu terikat 1-1 selepas masa tambahan dan Kane menyempurnakan tugasnya dalam mengambil sepakan penalti pertama England tetapi Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Saka, kesemuanya gagal menemui sasaran.

Ia menyaksikan pasukan The Three Lions itu terlepas peluang untuk menamatkan penantian 55 tahun menjulang trofi kejohanan utama tetapi Kane menegaskan skuad kendalian Gareth Southgate itu sedang menuju ke arah yang tepat.

Kane berkata kepada BBC Sport: "Kami tidak dapat memberikan lebih daripada ini, pemain kami telah memberikan kesemuanya. Penalti amat jelas akan memberikan anda perasaan paling buruk apabila anda tewas. Ia bukan malam kami.

"Ia telah menjadi kejohanan yang hebat dan kami sepatutnya berbangga, mendongakkan kepala. Sudah pasti ia terasa pedih sekarang, ia akan terasa pedih untuk beberapa ketika tetapi kami berada di laluan yang tepat dan kami sedang membangun. Harap-harap kami dapat memperbaiki pencapaian ini tahun depan.

"Amat jelas ia permulaan yang sempurna buat kami. Mungkin kemudian ada sedikit penurunan. Adakalanya apabila anda menjaringkan gol awal, lebih mudah untuk menyerap tekanan dan mempertahankannya.

"Mereka banyak menguasai bola tetapi untuk berlaku adil, kami juga kelihatan menguasai permainan. Mereka tidak mencipta terlalu banyak peluang. Mereka memperoleh gol daripada gerakan set-piece dan selepas itu, ia mungkin 50-50.

"Dalam masa tambahan, kami berkembang dengan lebih baik dan memperoleh beberapa percubaan dan kemudian, penalti adalah penalti.

"Kami telah melalui proses itu, pemain kami telah memberikan segala yang termampu dan ia bukan malam kami.

"Anda perlu kekal berbangga. Ia kejohanan yang hebat. Perkara seperti ini boleh berlaku. Penentuan penalti, anda melalui satu proses, meletakkannya di mana yang anda mahukan tetapi sesiapa sahaja boleh gagal menjaringkan penalti," katanya.