Sepanyol berazam menamatkan badi terkandas di peringkat kalah mati kejohanan utama apabila mereka menghadapi Croatia dalam pusingan 16 Euro 2020, tengah malam Selasa ini.

Kejayaan membenam Slovakia 5-0 meletakkan La Roja di tempat kedua Kumpulan E selepas seri dengan Sweden dan Poland hingga mencetuskan persoalan mengenai peluang mereka.

Sementara itu, Croatia menang 3-1 ke atas Scotland dalam perlawanan ketiga bagi memastikan mereka mengikuti jejak England melolosi Kumpulan D untuk menempah tiket fasa kalah mati buat kali keempat dalam enam penyertaan Kejohanan Eropah.

Selain acap gagal mara sejauh pusingan 16, prestasi Sepanyol kebelakangan ini juga kelihatan kurang meyakinkan -- selepas kejayaan menawan Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012, mereka kemudian tersingkir awal dalam Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

Pertemuan terakhir dengan Croatia dalam saingan Liga Negara-Negara (UNL), November 2018, berakhir dengan kekalahan 2-3 tetapi ketua jurulatih, Luis Enrique, menemui inspirasinya dua bulan sebelum sepak mula yang menyaksikan Sepanyol garang membelasah seteru itu dengan kemenangan 6-0 dalam aksi timbal balik, begitu juga dengan kelicikan barisan penyerangnya.

Sepanyol memiliki jumlah gol tertinggi daripada pencabar lain di peringkat kumpulan (8.8) tetapi sekadar mengumpul enam gol.




Ketumpulan di depan gawang bagaimanapun tidak menggusarkan Marcos Llorente apabila berkata kepada AS: "Dalam dua perlawanan awal, kami sedikit gugup di depan gawang tetapi kami membuktikan bahawa mampu mencipta banyak peluang, walaupun ketika menghadapi lawan yang gemar berkampung di kawasan sendiri.

"Kami bergelut dan kurang berkesan dalam dua perlawanan pertama dan dalam perlawanan terakhir pula, kami berjaya menjelmakannya. Ia adalah satu kemenangan yang baik."