Sergio Busquets percaya bahawa Sepanyol sedang meningkat menjadi lebih kuat dalam setiap perlawanan Euro 2020 selepas skuad La Roja itu menewaskan Croatia 5-3 di Stadium Parken untuk ke suku akhir awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Luis Enrique itu memenangi perlawanan kalah mati pertama dalam kejohana utama sejak menjuarai Euro 2012 sembilan tahun lalu.

Pablo Sarabia, Cesar Azpilicueta dan Ferran Torres kesemuanya menemui sasaran untuk Sepanyol mendahului 3-1 selepas Pedri terjaring gol sendiri dari jarak 49 ela.

Bagaimanapun, pemain gantian Croatia, Mislav Orsic, menghasilkan satu gol dan membantu jaringan Mario Pasalic dalam tempoh tujuh minit untuk mengheret pertemuan di Copenhagen itu ke masa tambahan.

Ia hanya kali kedua Sepanyol dibolosi tiga gol dalam sejarah Euro tetapi mereka memenangi perlawanan itu hasil jaringan Alvaro Morata dan Mikel Oyarzabal dalam masa tambahan -- kedua-dua jaringan itu dicetuskan oleh sentuhan pemain gantian, Dani Olmo.

Kapten Sepanyol, Busquets, gembira dengan cara pasukannya memberikan respons selepas ketinggalan gara-gara jaringan sendiri itu, di mana penjaga gol, Unai Simon, gagal mengawal hantaran ke belakang Pedri yang berguling ke gawang sendiri.

"Unai sedar dia mempunyai keyakinan penuh daripada kami. Gol itu merupakan sesuatu yang malang tetapi mentaliti kami tidak terjejas ketika masih kekal bercita-cita dan ia dibuktikan hari ini," kata Busquets selepas memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan itu.

"Dia kemudian lebih berhati-hati selepas gol itu dan melakukan beberapa aksi menyelamat terbaik. Pasukan ini dapat bangkit dan ia merupakan kemenangan yang hebat.

"Kemenangan ini membuatkan kami berasa baik. Pasukan ini tahu apa yang perlu dimainkan dan apa yang kami mahukan.

"Kami adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan dan kami sedang berkembang menjadi lebih kuat sepanjang kejohanan ini," katanya.