Euro 2020: Sepanyol sahkan tiada tambahan kes positif COVID-19

Muzaffar Musa
Jun 10, 2021 01:11 MYT
Sepanyol mengesahkan tiada lagi pemain atau staf kejurulatihan mereka diuji positif COVID-19 selepas beberapa jangkitan dalam kem pasukan itu.
Pertahanan, Diego Llorente, didapati positif virus itu semalam dan telah ditempatkan dalam pengasingan, berselang dua hari selepas ketua pasukan, Sergio Busquet, dijangkiti.
Sepanyol menggantung semua aktiviti latihan mereka dan menurunkan skuad B-21 ketika menentang Lithuania dalam aksi pemanas badan menjeang Euro 2020 semalam dan berhasil menang 4-0 di Leganes.
Ketua jurulatih, Luis Enrique, juga telah mengadakan gelembung latihan lain bagi menempatkan pemain yang diminta bersedia sekiranya keadaan mendesak dan antara yang dipanggil ialah Rodrigo Moreno, Pablo Fornals, Carlos Soler, Brais Mendez, Raul Albiol, Kepa Arrizabalaga dan 11 pemain daripada skuad B-21.
Terdapat kebimbangan penularan virus itu akan sukar dikawal tetapi kesemua pemain dan pegawai pasukan itu -- termasuk mereka yang berada dalam gelembung sukan berbeza -- negatif ujian saringan yang dilakukan semalam.
Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengesahkan perkara itu dalam laman web rasmi mereka dan akan melakukan ujian saringan lanjut dalam masa terdekat.
Sepanyol akan memulakan kempen Euro 2020 dengan bertemu Sweden di Seville, Isnin depan sebelum menghadapi Poland dan Slovakia dalam aksi Kumpulan E.

? Ejercicios individuales por postas. ? Trabajo específico con los porteros. ? ¡Así ha sido la 2ª sesión de los futbolistas que integran la burbuja paralela de la @SeFutbol!#SomosEspaña #EURO2020 pic.twitter.com/4cCjr9qO91

— Selección Española de Fútbol (@SeFutbol) June 9, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Luis Enrique #Sepanyol #EURO 2020