SEPANYOL 0-0 SWEDEN

Sepanyol memulakan kempen Euro 2020 dengan mengecewakan selepas terikat 0-0 dengan Sweden di Seville awal pagi tadi, di mana La Roja mempamerkan penyudah tumpul biarpun menguasai permainan.

Skuad kendalian Luis Enrique itu menguasai 85 permainan dan memperoleh deretan peluang terbaik dalam aksi Kumpulan E itu tetapi tidak mampu menemui jaringan.

Alvaro Morata perlu bertanggungjawab dengan kegagalan itu apabila mensia-siakan peluang terbaik, di mana dia hanya perlu menewaskan penjaga gol, Robin Olsen, tetapi sepakannya berakhir dengan tersasar dari sasaran.

Sweden jelas berdisiplin dalam mengekalkan perancangan taktikal mereka dan turut mengancam kubu lawan menerusi percubaan Alexander Isak yang terkena tiang

Sepanyol memulakan permainan dengan penguasaan penuh di mana mereka hanya membenarkan Sweden untuk melengkapkan dua hantaran sepanjang 20 minit pertama.

Koke kemudian menghidupkan peluang pertama Sepanyol menerusi hantaran lintangnya untuk ditanduk Dani Olmo tetapi Olsen mudah menyelamatkan keadaan dengan aksi menyelamat sebelah tangannya bagi menafikan tandukan jarak dekat itu.

Percubaan Koke kemudian sedikit tersasar daripada tiang gol tetapi dia sepatutnya melakukan sesuatu yang lebih baik menjelang setengah jam perlawanan ketika lambungannya sekadar melewati palang gol biarpun sudah berada di kedudukan terbaik.

Satu kesilapan yang dilakukan Marcus Danielson hampir menghukum Sweden tetapi Olsen segera menyedari situasi itu untuk memberikan tekanan buat Morata, yang kemudian melepaskan percubaan lencong yang tersasar, sebelum Olmo sekali lagi menggugat kubu Sepanyol dengan percubaan jarak jauhnya.

Sweden hampir mencipta kejutan sebelum waktu rehat dengan rembatan Isak melantun di lutut Marcos Llorente dan terus menuju ke tiang gol.

Aksi hambar terus dipamerkan jentera serangan Sepanyol dalam babak kedua dengan Gerard Moreno sepatutnya mendapatkan gol kemenangan La Roja tetapi tandukannya -- susulan hantaran lintang bijak seorang lagi pemain gantian, Pablo Sarabia -- diselamatkan Olsen dengan menggunakan kaki.