Diego Llorente menjadi pemain kedua Sepanyol didapati positif COVID-19, kurang seminggu sebelum sepak mula Euro 2020.

Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol, (RFEF) mengesahkan perkara itu malam tadi susulan ujian calitan PCR yang dilakukan.

Persiapan Sepanyol menjelang Euro 2020 menjadi huru-hara apabila ketua pasukan, Sergio Busquets, didapati positif koronavirus hujung minggu lalu, yang memaksa seluruh pasukan itu diasingkan dan perlawanan persahabatan dengan Lithuania awal pagi tadi turut terjejas.

Pertahanan Leeds United, Llorente, telah meninggalkan Las Rozas dengan menggunakan kenderaan perubatan seperti yang ditetapkan dalam protokol keselamatan manakala pasukan kebangsaan itu pula akan meneruskan latihan pemain secara bersendirian.

Baki pemain pasukan senior yang lain kesemuanya disahkan negatif virus itu tetapi akan terus mematuhi protokol kesihatan ketat sebelum memulakan kempen Euro 2020, di mana Sepanyol akan berdepan Sweden dalam perlawanan pembukaan awal pagi Selasa depan.

"RFEF dengan dukacita mengumumkan bahawa pertahanan tengah, Diego Llorente, telah diuji positif dalam ujian PCR terakhir yang dilakukan di pusat latihan skuad kebangsaan di Las Rozas pagi ini," kata satu kenyataan yang dikeluarkan RFEF.

Skuad B-21 Sepanyol mengambil alih perlawanan persahabatan menentang Lithuania awal pagi tadi dan berhasil mencatatkan kemenangan 4-0.

Sepanyol diundi dalam Kumpulan E, Euro 2020 di samping Sweden, Poland dan Slovakia.