Gareth Bale menamatkan perbincangan mengenai persaraannya daripada peringkat antarabangsa berikutan penyingkiran Wales dalam saingan Euro 2020, mengatakan bahawa dia akan bermain untuk negaranya sehingga kerjaya profesionalnya berakhir.

Bale sebelum ini menjelaskan akan membuat keputusan mengenai masa depannya di peringkat antarabangsa selepas kejohanan ditangguh tetapi meninggalkan sesi temubual bersama BBC ketika ditanya adakah dia telah bermain perlawanan terakhirnya untuk Wales berikutan kekalahan 4-0 kepada Denmark di Amsterdam semalam.


Bagaimanapun, bercakap kepada S4C, dia menjelaskan masa bersama Wales belum berakhir.

"Saya mahu terus bermain. Orang ramai bertanya soalan bodoh sepanjang masa, tetapi jelas saya suka bermain untuk Wales," kata Bale.

"Saya akan bermain untuk Wales sehingga saya berhenti bermain bola sepak.

"Kami baru sahaja memulakan kempen kelayakan Piala Dunia, dan kami perlu mengambil pengalaman ini.

"Saya berasakan seperti kami memiliki cara bermain yang sangat baik ketika kami bermain dengan baik dan kami harus menjaga keyakinan itu di tahap yang tinggi, terus bermain bola sepak dan saya berasakan kami mampu layak ke ke Piala Dunia berikutnya."

Wales di tangga ketiga Kumpulan E kelayakan UEFA bagi Piala Dunia 2022 di Qatar selepas meraih tiga mata daripada dua perlawanan. Belgium meraih tujuh mata dengan Republik Czech.

Mereka kembali beraksi dalam kelayakan di Belarus 5 September ini.